MAHKAMAH ADAT DALAM MASYARAKAT BANDAR DI ACEH, INDONESIA: SATU CADANGAN PENAMBAHBAIKAN (LD00027)
Kehidupan masyarakat bandar yang mengagungkan formaliti mengakibatkan kebiasaan masyarakat tradisi diketepikan. Praktik penyelesaian pertikaian melalui Mahkamah Negara adalah bersifat kalah-menang, kerana betul atau salah sesuatu tindakan adalah berdasar bukti dan hujah yang dikemukakan oleh pihak bersengketa. Namun ini telah menjadi pilihan utama masyarakat bandar tanpa mengambil kira keharmonian dan kesepaduan masyarakat. Di sebalik perkembangan ini, kewujudan mahkamah adat dalam masyarakat bandar di Aceh adalah merupakan fenomena yang unik dan menggambarkan bahawa adat masih lagi penting dan diterima ramai. Mahkamah Negara wujud secara berdampingan dengan mahkamah adat; namun mahkamah negara mempunyai kedudukan yang lebih baik kerana keberadaannya diiktiraf oleh undang-undang dan disertai dengan bidang kuasa dan kaedah tatacara yang jelas, sementara mahkamah adat agak ketinggalan kerana kesamaran kedudukan dan bidang kuasa serta kaedah tatacara pengendalian mahkamah.
Kajian ini bertujuan mengenal pasti latar belakang, kedudukan, bidang kuasa mahkamah, tatacara perbicaraan serta kepentingan kuasa mahkamah adat dipertahankan dalam masyarakat bandar di Aceh. Kajian ini juga bertujuan mencadangkan model mahkamah adat yang lebih moden dengan mengambil pembelajaran Mahkamah Adat Rembau di Negeri Sembilan.
Kombinasi tiga metod kajian diguna pakai dalam kajian ini, iaitu metod perundangan, antropologi dan sosiologi. Dua kaedah pengumpulan data dijalankan dalam kajian ini, iaitu kajian kepustakaan dan kajian lapangan. Pemilihan responden menggunakan dua kaedah pensampelan, iaitu kaedah pensampelan bertujuan dan kaedah pensampelan bola salji. Data yang telah terkumpul dianalisis dengan menggunakan metod deskriptif kualitatif.
Hasil kajian mendapati mahkamah adat di Aceh lahir dari amalan masyarakat dan diwarisi turun temurun dari generasi lama. Kajian juga mendapati kedudukan dan usaha untuk meningkat tahap formaliti mahkamah adat masih lagi dipertikaikan. Pada masa yang sama, isu pertindihan bidang kuasa antara mahkamah adat dengan Mahkamah Syariah timbul terutama berkaitan dengan bidang kuasa khalwat. Walaupun terdapat cabaran, masyarakat bandar masih memandang tinggi kepada mahkamah adat dan mengiktiraf kepentingan mempertahankan mahkamah adat di Aceh. Kajian juga mendapati tatacara perbicaraan mahkamah adat telah secara beransur-ansur disusun dalam bentuk formal, namun kamar bicara mahkamah adat masih dijalankan pada tempat-tempat awam, seperti balai umum dan masjid. Ini berbeza dengan Mahkamah Adat Rembau yang mempunyai ruang bicara formal.
Kajian mencadangkan supaya badan perundangan meminda Perlembagaan, undang-undang dan qanun sedia ada dengan memuat peruntukan yang jelas dan lebih terperinci mengenai kedudukan mahkamah adat serta memberi bidang kuasa yang sesuai. Pihak eksekutif juga peru membina bangunan kekal bagi kamar bicara mahkamah adat untuk membolehkan tugas dijalankan oleh mahkamah adat dengan lebih formal.
edit_page
Untuk membaca file lengkap dari naskah ini, Silahkan Login.